Thursday, November 19, 2009

Zulhijjah & IdilAdha

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ

"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6] Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan. Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya:

"tidak boleh !"

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

wallahu 'alam
Sekian
Doha, Qatar
27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H)
Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H - Malaysia ; 7 Zulhijjah 1428 H - Saudi)
KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H )
[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas
::PERKONGSIAN BERSAMA DARIPADA USTAZ ZAHARUDDIN ::

Tuesday, September 1, 2009

Wajah-wajah keriangan anak-anak kecil...

bersama si pendiam Dafi..
Si Asraf yang nakal..



Bersama Dayang Yanie Maisarah yang manja..


Si kecil Ainul Mardiyah yang manis..



Khadijah yang comel..




Anak akak yang betemu di klinik he(ntah xtau nama, x sempat bertanya).. (^^,)





Si Aina yang montel..

Angkasawan akan datang : Aliff Muzzaffar..(^^)/




Kesilapan Umat Islam Dalam Bulan Ramadhan & Luar Ramadhan

Berikut adalah beberapa lagi perkara yang amat perlu dielak di khususnya di bulan Ramadhan ini, malah ia juga adalah suatu kesilapan di luar Ramadhan (namun pastinya ia hanyalah sebahagian kecil dari senarai panjang larangan dan perkara yang perlu dielak):-

1) Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;
Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir. Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.
Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.
Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-

‏لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه لكان أن يقف أربعين خيرا له من أن يمر بين يديه قال ‏ ‏أبو النضر ‏ ‏لا أدري أقال أربعين يوما أو شهرا أو سنة
Ertinya : Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan besar dosa, bagi seseorang melintas di hadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" (Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )

Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Menjadi kemestian ke atas ibubapa untuk menjaga anak mereka sedaya mampu, agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.

2) Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.
Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang. Nabi s.a.w menyebut :-

‏إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو الشيطان
Ertinya : Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.' (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )

Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'. Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus. Nabi bersabda :-

المصلي يناجي ربه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551 )

Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu di hadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak. Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t.

3) Meludah di masjid
Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya. Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-

‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏البزاق في المسجد خطيئة وكفارتها دفنها
Ertinya : Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya" ( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud )

4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat. Ini adalah satu lagi kesalahan yang berlaku secara kerap di masjid tatkala bulan Ramadhan. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di ubah nada deringannya kepada ‘silent mode'.

Menurut pengamatan saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan). Ini kerana :-

a- Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-
إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها

Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )

فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه

Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)

Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )

Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.

b- Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain
Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.

Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.

Pergerakan
Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan

أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية
Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 ) Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.

5) Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.
Telah banyak kali saya sebut di dalam web ini bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid. Sebagaimana ingatan Nabi :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

6) Tidur semula selepas sahur
Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.

Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh. Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar. Allah berfirman :-

الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأَسْحَارِ
Ertinya : "Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur" ( Al-Imran : 17 )

7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.
Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau. Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur. Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.

Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain. Nabi s.a.w bersabda :-

اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم ولا تتخذوها قبورا

Ertinya : jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)" (Riwayat Muslim)
Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebab
kan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai ( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )

8) Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah
Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh di web ini, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini. Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.

9) Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.
Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.

Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis :-

‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط
Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranay dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 ) Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.

10) Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya
Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.

Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.

Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?. Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.

Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t. Nabi s.a.w mengingatkan :-

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ
دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاهٍ
Ertinya : "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )

11) Berterusannya tenggelam dalam syahwat
Bagi sebahagian remaja dan anak muda, mereka meneruskan aktiviti biasa mereka dengan bergayut di telefon bersama pasangan, atau lebih buruk, aktif ‘berdating' di musim Ramadhan ini dan pelbagai aktiviti bersyahwat dan nafsu mereka. Ibu bapa pula seolah sudah habis usaha, buntu aqal untuk mencari jalan terbaik mengelakkan aktiviti buruk si anak dari berterusan. Jika ini berlaku, dosa lebih banyak yang bertambah sejurus keluar dari bulan mulia ini. Selain itu, mereka yang menamatkan Ramadhan dengan dosa yang lebih banyak, pastinya akan semakin menjauh dari Allah swt. Manakan tidak, di bulan bergandanya pahala dan ditutup pintu neraka pun masih ditewaskan oleh nafsu, apatah lagi di ketika Syaitan bebas dari belenggunya. Moga kita dijauhkan Allah.


Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan. Saya izinkan disebarluaskan artikel ini di masjid, surau, fotostatlah sebanyak mungkin demi manfaat rakan muslim kita. Semoga kita dapat sama-sama ke syurga Allah s.w.t ..ameeen.


Sekian
::Petikan daripada Utz Zaharuddin Abd Rahman ::

Thursday, August 13, 2009

Jangan terpedaya risalah doa pelindung H1N1

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meminta orang ramai agar tidak terpedaya dan terkeliru dengan risalah doa pelindung diri daripada jangkitan selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang kini giat disebarkan kepada orang ramai oleh pihak-pihak tertentu.
Pengarahnya, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, risalah yang didakwa disediakan oleh seorang pegawai Bahagian Pendakwah Bebas JAIS itu sebenarnya tiada kaitan dengan pihaknya dan dikhuatiri boleh mengelirukan umat Islam.
Ini kerana kata beliau, setelah merujuk kepada Jabatan Mufti Selangor, doa tersebut bukanlah doa yang khusus bagi melindungi H1N1 yang dimaksudkan tetapi merupakan doa yang diamalkan oleh ahli kumpulan Al-Arqam yang sudah diharamkan.Justeru, orang ramai yang menerima bahan risalah berkenaan diminta lebih berhati-hati dan merujuk kepada pihak berwajib untuk pengesahan.

Wednesday, August 5, 2009

TIADA KEJAYAAN TANPA KESABARAN

Manusia tidak akan berjaya tanpa kesabaran. Dalam setiap ketika, manusia berada dalam situasi di mana dia harus mentaati Allah atau dia harus menjauhi larangan Allah. Samada dia perlu menerima perintah dan peraturan Allah atau bersyukur pada Allah. Kesemua ini menuntut kesabaran.
Jadi, sehingga mati tiada siapa dapat lari dari bersabar. Apa-apa yang berlaku pada kita di dunia ini samada sejajar dengan kemahuan kita atau tidak, sabar masih diperlukan.
Ujian dan kesusahan terbahagi kepada 2 kategori utama:
1. Kesusahan di luar batas kawalan seseorang2.
Kesusahan disebabkan oleh orang lain.
Dalam mendepani kesusahan di luar batas kawalan, selalunya manusia memberi reaksi berikut:
1. Merasa putus asa dan tidak berpuas hati, merungut dan merasa panik
2. Bersabar samada kerana Allah atau kerana sifatnya yang memang kuat dan cekal
3. Menerima dengan redha.4. Menerima keadaan dengan penuh rasa syukur.
Dalam berdepan kesusahan yang disebabkan oleh orang lain, manusia memberi respon berikut:
1. Memilih untuk memaafkan dan melupakan atau tidak
2. Memutuskan untuk tidak membalas dendam atau membalas
3.Terus melayan baik orang yang memberi layanan buruk kepada beliau.
Sumber: SASJAIS..

Thursday, February 5, 2009

Itulah Politik Tiada Malu

Macam-macam boleh jadi dalam politik. Itulah kata-kata yang sering kita dengar apabila berlaku sesuatu yang pelik dalam perkembangan politik, sama ada politik di dalam Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa.

ITULAH POLITIK
Kelmarin diberitakan Iran melancarkan satelit mereka yang pertama, tujuannya adalah semata-mata untuk perkembangan komunikasi. Namun berita-berita di UK sudah bersangka buruk dengannya, dengan memberikan gambaran Iran akan menggunakannya untuk tujuan ketenteraan. Isu tenaga nuklear sudah lama dibincangkan. Peliknya, mengapa Israel dibenarkan menggunakan dan menyimpan senjata nuklear, demikian Amerika, dan lain-lain Negara besar dibenarkan tanpa banyak soal boleh menyekat kebebasan sebuah Negara lain seperti Iran dan Korea. Mudah jawapannya, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', orang kata ‘tidak adil' dan lain-lain.

Apabila terang-terang, Yahudi Zionis melakukan jenayah kemanusiaan apabila membunuh begitu ramai orang awam di Palestin. Mereka tidak dikutuk teruk, Presiden Obama dan sekutunya seolah-olah BUTA, dan terus mengemukan hujjah-hujjah yang kelihatan ‘amat kurang aqal' dan melucukan. Orang akan kata, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan lain-lain.

Apabila beberapa pemimpin dan ahli sebuah parti Islam yang menentang habis-habisan sebuah parti kebangsaan yang disebutnya kafir dan munafik. Tiba-tiba melompat ke parti yang dikatakan munafiq. Juga dengan ‘hujah tahap tadika'. Orang kata ..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan ‘jilat ludah sendiri' dan lain-lain.

Apabila seorang bekas ketua gerakan orang muda sebuah parti yang mendokong ‘perubahan' dan anti rasuah, dahulunya HEBAT ya AMAT HEBAT membantai beserta sumpah dan kotak-kotak bukti rasuah orang daripada parti yang ditentangnya. Tiba-tiba tidak semena-mena membawakan hujjah ‘tadikal lalu melompat kepada parti lawannya. Orang kata..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil', ‘jilat ludah sendiri', ‘tiada maruah' dan lain-lain. Pedulilah apa orang nak kata.

Seorang wakil rakyat melompat parti dari A kepada parti B, dalam tempoh beberapa hari, apabila dirasakan keadaan tidak selamat bagi dirinya, melompat semula kepada parti A. Dikemukan beberapa hujjah ‘t tadika' juga. Lalu dirasakan dirinya telah berjaya menjustifikasikan tindakan ‘beraqal tadikanya'. Orang kata, ITULAH POLITIK!

Beberapa orang lagi, tidak melompat ke parti lain, tetapi melompat juga, melompat ke parti tiada cap. Diri sedang diteliti akibat kes-kes rasuah, termasuk rasuah seks. Tetapi seolah gentleman yang bijak pandai, menjustifikasikan tindakannya dengan hujah ‘tadika'. Tidak segankah mereka? Orang kata, ITULAH POLITIK! Tiada yang malu dalam politik? Semua boleh buat asalkan boleh manfaat untuk diri, peduli orang lain.?

BODOH SANGAT RAKYAT DI MATA AHLI POLITIK?
Tidak sedarkah individu-individu seperti yang disebut di atas, betapa hina mereka di sisi mata orang ramai?. Atau terlalu bodohkah orang ramai di mata mereka.? sehingga boleh didatangkan dengan hujjah-hujjah versi ‘tiada aqal', lalu tersenyum lebar menyangka semua orang masih menghormatinya luar dalam.

Sedangkan manusia yang reti, faham dan ‘ada aqal', memandangkan dengan pandangan busuk. Orang busuk sedang berjalan, orang busuk sedang bercakap, sedang menghadiri mesyuarat. Kita kerap mengganggap POLITIK sebagai tiket atas segala kepelikan hasil perlakuan orang politik.

Seeloknya, jangan lagi diletakkan beban dan sebab kepada POLITIK apabila ingin melakukan sesuatu yang TIDAK BERMORAL, TIADA MARUAH dalam industri politik. Beritahu sahaja sedemikian.

"Saya rasuah sana sini, tipu sana tipu sini, buat ini, buat itu, lompat sana, lompat sini sebenarnya KERANA SAYA INI TIADA MARUAH, TIADA MALU DAN TAMAKKAN DUNIA "

Adakah ahli politik tidak perasan bahawa seribu satu macam jenayah mereka sebenarnya adalah 'open secret' di kalangan rakyat.? Cuma gagal di buktikan di mahkamah dunia sahaja, kerana itu masih bebas.

Lihat sahaja rumah ahli politik sebelum dan selepas, padahal gaji dan elaun sebagai ahli parlimen Malaysia hanya sekitar RM 10,000 dan ADUN sekitar RM 8,000. Lihat pula rumah dan harta pegawai atasan kerajaan termasuk Polis. Cubalah jenguk dan tinjau rumah mereka dan lihat gaya hidupnya. Jika ada Umar al-Khattab, pastinya tercabut semuanya.

KERAJAAN NEGERI PERAK
Semasa saya menulis artikel ini, belum ada keputusan dari pihak Sultan sama ada untuk memperkenankan pembubaran DUN atau tidak. Namun, adalah sangat bijak jika diperkenankan pembubaran bagi menyapu bersih muka-muka yang tiada ‘malu' DENGAN PERLAKUAN SALAH MEREKA atau yang juga sedang merendahkan minda dan hak rakyat di negeri mereka. Sangat elok kiranya, rakyat diberi peluang semula untuk memilih pemimpin mereka agar individu tiada parti diganti dengan yang ada parti. Yang melompat-lompat diganti dengan yang tidak melompat. Amat diharap DUN boleh dibubarkan. Ia saya kira keputusan yang terbaik di mata pemerhati awam khususnya saya.

Bagi saya, kes di Perak sebenarnya membuktikan betapa ‘TIDAK TAHU MALUNYA' sebahagian orang-orang politik di Malaysia. Seolah tidak lagi mereka mengendahkan perasaan, kebencian dan minda rakyat. Tiada lagi malu untuk berbuat apa sahaja atas nama politik. Yang penting boleh dijustifikasikan walaupun dengan hujjah tidak beraqal.

INILAH POLITIK TIDAK TAHU MALU namanya dan politik hina dan membawa kepada kehinaan dan tiada maruah. Nabi s.a.w pernah menyebut kita PERLU MALU, kerana malu adalah agama, dengan terang lagi jelas baginda menyebut :-

إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى إذا لم تستح فاصنع ما شئت

Erti : Sesungguhnya, perkara yang telah diketahui ramai dari perkataan nabi-nabi awal dahulu adalah : Apabila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, kamu buatlah ( akan berbuat) apa sahaja ( Riwayat Al- Bukhari)
Dan satu lagi :
الحياء خير كله
Ertinya : Perasaan malu itu semuanya (membawa) kebaikan (riwayat Muslim)
dan sebuah lagi hadis menjelaskan :-

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( استحيوا من الله حق الحياء ) ، قلنا : يا رسول الله إنا نستحيي والحمد لله ، قال : ( ليس ذاك ، ولكن الاستحياء من الله حق الحياء أن تحفظ الرأس وما وعى ، والبطن وما حوى ، ولتذكر الموت والبلى ، ومن أراد الآخرة ترك زينة الدنيا ، فمن فعل ذلك فقد استحيا من الله حق الحياء )
Ertinya : Ibn Mas'ud menceritakan : Rasul bersabda : berasa malulah dengan Allah SWT DENGAN sebenar-benar erti malu, sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah pun berasa malu itu Alhamdulillah,
Baginda menjawab : Bukan demikian, tetapi malu kepada Allah swt yang sebenar-benarnya adalah dengan menjaga kepalamu dan setiap apa yang di dalam pemikiranmu, menjaga perutmu dan setiap apa yang diingininya, dan perbanyakkan ingatan kepada mati dan kehancuran, barangsiapa yang inginkan Akhirat, bakal meninggalkan perhiasan dunia (tidak ditipu dengan kepentingan dunia), seseiapa yang berbuat demikian seperti disebut di atas, mereka telah malu kepada Allah swt dan melaksanakan hak ‘malu' ( Riwayat At-Tirmidzi )
AKHIRNYA
Akhirnya, buat diri saya dan semua warga Malaysia di mana jua kita berada, berperanan dalam apa jua jawatan dan kapasiti. Malulah dengan Allah swt, diri sendiri, orang ramai. malu dalam kejahatan, bukan malu untuk melakukan kebaikan.
Janganlah bermain dengan POLITIK TAK TAHUN MALU!! Janganlah menjadikan tindakan TIDAK TAHU MALU sebagai strategi politik. Kerana ia memalukan kami untuk mempunyai pemimpin yang TIDAK TAHU MALU.

Sekian..
:: Petikan dari tulisan ::
Zaharuddin Abd Rahman @
www.zaharuddin.net
RENUNGILAH SEDALAMNYA SAHABAT2 KU..