Tuesday, September 1, 2009

Wajah-wajah keriangan anak-anak kecil...

bersama si pendiam Dafi..
Si Asraf yang nakal..



Bersama Dayang Yanie Maisarah yang manja..


Si kecil Ainul Mardiyah yang manis..



Khadijah yang comel..




Anak akak yang betemu di klinik he(ntah xtau nama, x sempat bertanya).. (^^,)





Si Aina yang montel..

Angkasawan akan datang : Aliff Muzzaffar..(^^)/




Kesilapan Umat Islam Dalam Bulan Ramadhan & Luar Ramadhan

Berikut adalah beberapa lagi perkara yang amat perlu dielak di khususnya di bulan Ramadhan ini, malah ia juga adalah suatu kesilapan di luar Ramadhan (namun pastinya ia hanyalah sebahagian kecil dari senarai panjang larangan dan perkara yang perlu dielak):-

1) Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;
Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir. Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.
Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.
Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-

‏لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه لكان أن يقف أربعين خيرا له من أن يمر بين يديه قال ‏ ‏أبو النضر ‏ ‏لا أدري أقال أربعين يوما أو شهرا أو سنة
Ertinya : Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan besar dosa, bagi seseorang melintas di hadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" (Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )

Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Menjadi kemestian ke atas ibubapa untuk menjaga anak mereka sedaya mampu, agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.

2) Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.
Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang. Nabi s.a.w menyebut :-

‏إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو الشيطان
Ertinya : Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.' (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )

Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'. Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus. Nabi bersabda :-

المصلي يناجي ربه
Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551 )

Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu di hadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak. Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t.

3) Meludah di masjid
Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya. Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-

‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏البزاق في المسجد خطيئة وكفارتها دفنها
Ertinya : Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya" ( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud )

4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat. Ini adalah satu lagi kesalahan yang berlaku secara kerap di masjid tatkala bulan Ramadhan. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di ubah nada deringannya kepada ‘silent mode'.

Menurut pengamatan saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan). Ini kerana :-

a- Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-
إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها

Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )

فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه

Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)

Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )

Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.

b- Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain
Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.

Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.

Pergerakan
Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan

أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية
Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 ) Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.

5) Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.
Telah banyak kali saya sebut di dalam web ini bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid. Sebagaimana ingatan Nabi :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته
Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

6) Tidur semula selepas sahur
Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.

Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh. Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar. Allah berfirman :-

الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأَسْحَارِ
Ertinya : "Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur" ( Al-Imran : 17 )

7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.
Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau. Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur. Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.

Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain. Nabi s.a.w bersabda :-

اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم ولا تتخذوها قبورا

Ertinya : jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)" (Riwayat Muslim)
Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebab
kan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai ( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )

8) Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah
Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh di web ini, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini. Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.

9) Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.
Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.

Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis :-

‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط
Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranay dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 ) Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.

10) Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya
Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.

Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.

Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?. Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.

Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t. Nabi s.a.w mengingatkan :-

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ
دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاهٍ
Ertinya : "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )

11) Berterusannya tenggelam dalam syahwat
Bagi sebahagian remaja dan anak muda, mereka meneruskan aktiviti biasa mereka dengan bergayut di telefon bersama pasangan, atau lebih buruk, aktif ‘berdating' di musim Ramadhan ini dan pelbagai aktiviti bersyahwat dan nafsu mereka. Ibu bapa pula seolah sudah habis usaha, buntu aqal untuk mencari jalan terbaik mengelakkan aktiviti buruk si anak dari berterusan. Jika ini berlaku, dosa lebih banyak yang bertambah sejurus keluar dari bulan mulia ini. Selain itu, mereka yang menamatkan Ramadhan dengan dosa yang lebih banyak, pastinya akan semakin menjauh dari Allah swt. Manakan tidak, di bulan bergandanya pahala dan ditutup pintu neraka pun masih ditewaskan oleh nafsu, apatah lagi di ketika Syaitan bebas dari belenggunya. Moga kita dijauhkan Allah.


Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan. Saya izinkan disebarluaskan artikel ini di masjid, surau, fotostatlah sebanyak mungkin demi manfaat rakan muslim kita. Semoga kita dapat sama-sama ke syurga Allah s.w.t ..ameeen.


Sekian
::Petikan daripada Utz Zaharuddin Abd Rahman ::